Usahawan dan personaliti media sosial, Noor Nabila Mohd Noor mengesahkan lelaki berjambang yang dimuat naik dalam InstaStory miliknya baru-baru ini merupakan individu istimewa yang sedang dikenalinya secara serius.

Nabila, 41, memaklumkan hubungan tersebut telah terjalin sejak April tahun lalu dan dibina atas dasar kematangan serta persefahaman, namun mereka masih berada dalam fasa mengenali antara satu sama lain sebelum membuat sebarang keputusan besar termasuk perkahwinan.

Noor Nabila Sahkan Jejaka Berjambang Dalam InstaStory Adalah Kekasih Baharu

Menurut Nabila, lelaki berkenaan merupakan seorang jurulatih peribadi yang kini turut menjadi rakan kongsi dalam perniagaan yang diusahakannya. Katanya, pada tahap usia dan pengalaman hidup sekarang, keutamaan beliau adalah ketenangan, keselamatan emosi serta keserasian dari segi pemikiran. Walaupun terdapat jurang usia sekitar 10 tahun, Nabila menegaskan perkara itu bukan satu isu besar kerana baginya nilai kematangan, layanan, sikap dan prinsip hidup jauh lebih penting berbanding faktor usia atau penampilan luaran.

Tambah Nabila, sifat ceria, penyayang dan sikap hormat yang ditunjukkan lelaki tersebut terhadap dirinya, keluarga serta anaknya membuatkan beliau berasa selesa. Malah, naluri kebapaan yang dimiliki jejaka itu turut menjadi antara faktor yang mencuri perhatiannya sebagai seorang ibu.

Selain itu, Nabila turut berkongsi bahawa kekasihnya pandai memasak dan mereka kini dalam perancangan untuk mengusahakan perniagaan makanan Jepun secara bersama. Hubungan mereka juga mendapat restu daripada keluarga kedua-dua belah pihak.

Perkongsian foto mesra Nabila bersama lelaki tersebut sebelum ini mengundang pelbagai spekulasi netizen apabila jejaka berkenaan dilihat merangkul pinggang Nabila, sementara beliau tampil anggun mengenakan gaun ungu dan pasangannya berbaju kemeja putih.

Mengulas latar belakang kehidupan peribadinya, Nabila pernah melalui dua kegagalan perkahwinan sebelum ini, yang menjadikan beliau lebih berhati-hati dalam membina hubungan baharu.

Kredit: Instagram noornabila

 

[fbcomments]