Pelakon Along Eyzendy, atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Serdang selepas keadaannya dilaporkan merosot secara mendadak sejak petang kelmarin.
Difahamkan, beliau berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terpaksa ditidurkan bermula sekitar jam 4 petang bagi membolehkan rawatan lanjut dilakukan.
![]()
Along Eyzendy Ditidurkan Di ICU Hospital Serdang Akibat Jangkitan Serius
Isterinya, Hamidah Mohd Yatim, memaklumkan Along sebelum itu dimasukkan ke wad sejak Jumaat lalu akibat mengalami demam dan batuk berpanjangan, sebelum doktor mengesan kemungkinan jangkitan pada stent di saluran hempedu.
Menurut Hamidah, jangkitan tersebut memberi kesan terhadap bacaan tekanan darah, hemoglobin serta platelet suaminya yang didapati tidak stabil dan berubah-ubah. Keadaan Along menjadi lebih kritikal apabila beliau tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika doktor sedang memasukkan platelet dan langsung tidak memberi sebarang tindak balas.
![]()
Pemeriksaan lanjut melalui imbasan ultrabunyi mendapati terdapat pembengkakan serta takungan nanah pada pundi hempedu, menyebabkan doktor terpaksa menebuk bahagian tersebut bagi mengeluarkan nanah sebelum merancang rawatan antibiotik.
Along kemudiannya ditidurkan buat sementara waktu kerana menanggung kesakitan teruk yang menyukarkan prosedur skop dijalankan. Hamidah menjelaskan tempoh beliau ditidurkan bergantung kepada tindak balas tubuh dan organ dalaman, dengan harapan tiada komplikasi serius berlaku.
Sementara itu, rakan-rakan artis turut menitipkan doa agar pelakon berkenaan diberikan kesembuhan dan kembali pulih seperti sediakala.
Kredit: Harian Metro