Ibu kepada pelakon Puteri Balqis, Norashikin Mohd Aziz, tampil berkongsi pengalaman perit yang pernah dilaluinya ketika anaknya berdepan masalah penglihatan sehingga meletakkan mereka dalam keadaan amat terdesak. Pendedahan itu dibuat menerusi satu temu bual podcast SembangOhhYeahh, yang membuka kisah lama yang selama ini disimpan rapi.
Ibu Puteri Balqis Kongsi Pengalaman Hitam, Syarat Aneh Libat Ahli Politik
Menurut Norashikin, ketika keadaan kesihatan Puteri Balqis semakin membimbangkan dan situasi mereka diketahui umum, seorang artis veteran telah mendekatinya dengan tawaran bantuan. Artis berkenaan memaklumkan terdapat seorang ahli politik yang kononnya sanggup membantu membawa anaknya mendapatkan rawatan pakar tanpa sebarang publisiti atau liputan media, sekali gus membuatkan Norashikin bersetuju kerana berada dalam keadaan terdesak.
Bagaimanapun, keadaan mula menjadi janggal apabila Norashikin dan anaknya dibawa ke sebuah rumah yang tidak dikenali, namun doktor yang dijanjikan langsung tidak muncul. Dia turut mendedahkan diminta meninggalkan anaknya buat sementara waktu dan hanya berada di rumah bersama artis veteran tersebut, selain kehadiran enam lelaki lain di lokasi berkenaan yang menimbulkan rasa tidak selamat.
Norashikin berkata, beberapa syarat yang dianggap pelik dan tidak masuk akal turut dikemukakan atas alasan kononnya sebagai sebahagian daripada proses rawatan. Antaranya, dia diminta berkahwin dengan individu berkenaan, Puteri Balqis akan dihantar ke luar negara sehingga usia 21 tahun tanpa dibenarkan berhubung dengannya, selain dikenakan peraturan ketat termasuk larangan bertemu sesiapa dan diwajibkan tinggal di rumah. Malah, beliau turut diarahkan bertudung ketika keluar, namun tidak dibenarkan bertudung apabila rakan-rakan lelaki berada di dalam rumah.
![]()
Susulan insiden tersebut, Norashikin mengambil keputusan membawa pulang anaknya dan memutuskan untuk tidak meneruskan sebarang urusan lanjut. Dia turut membuang semua pakaian yang dipakai ketika kejadian itu kerana tidak sanggup mengingati detik berkenaan yang terlalu menyakitkan.
Norashikin mengakui terdapat beberapa perkara yang berlaku di luar kerelaannya, namun memilih untuk tidak menceritakan secara terperinci kerana terlalu sukar untuk dikenang. Ketika ditanya oleh Puteri Balqis mengenai doktor yang dijanjikan, beliau hanya memaklumkan doktor tersebut sibuk dan berjanji akan mencari rawatan lain.
Tambahnya lagi, kisah hitam itu hanya diketahui oleh suaminya, Faris, yang menyimpan rahsia berkenaan selama bertahun-tahun sebelum beliau akhirnya berani bersuara. Norashikin turut merakamkan penghargaan kepada Faris yang setia berada di sisi serta menjadi penyokong utama buat dirinya dan Puteri Balqis, termasuk sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
![]()
Dalam pada itu, kisah Puteri Balqis kembali menjadi perhatian umum sejak kebelakangan ini selepas pelakon tersebut berkongsi beberapa hantaran di media sosial mengenai dakwaan pernah menjadi mangsa buli sejak bergelar anak seni. Pelbagai kejadian serta fitnah turut melibatkan ibunya, bapa tiri dan tunangnya, sehingga mereka terpaksa tampil mempertahankan diri berikutan penyebaran maklumat yang tidak benar di media sosial.
Kredit: Youtube SembangOhhYeahh