Kelahiran seorang bayi lelaki dengan berat hampir lima kilogram mencetuskan keterujaan dalam kalangan petugas di Hospital Pantai Melaka apabila bayi tersebut dilahirkan pagi semalam.
Bayi seberat 4.91 kilogram itu dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean oleh ibunya, Nur Hafizah Othman, 35, dengan kehadiran suami tercinta, Nor Irfan Azizi Nordin, 36, di sisi.
![]()
Dua Anak Sebelum Ini Lebih 4kg, Bayi Ketiga Cecah 4.91kg
Menurut Nor Irfan, mereka telah dimaklumkan lebih awal bahawa bayi ketiga mereka berkemungkinan dilahirkan dengan berat melebihi empat kilogram berdasarkan pemeriksaan kehamilan yang dijalankan sebelum ini. Bagaimanapun, beliau tetap tidak menyangka berat sebenar anaknya hampir mencecah lima kilogram. Katanya, suasana di bilik pembedahan bertukar riuh apabila para petugas kesihatan teruja melihat saiz bayi berkenaan.
Nor Irfan turut berkongsi bahawa kedua-dua anak mereka sebelum ini juga dilahirkan dengan berat yang agak besar, iaitu anak sulung, Noah Naufal seberat 4.5 kilogram dan anak kedua, Noah Ayden pula 4.2 kilogram. Justeru, mereka menjangkakan bayi ketiga itu berada dalam lingkungan berat yang sama.
![]()
Walaupun masih terkejut dengan berat luar biasa bayi tersebut, Nor Irfan meluahkan rasa syukur kerana isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat. Setakat ini, pasangan itu belum memuktamadkan nama penuh bayi berkenaan, namun memaklumkan nama pertama yang akan digunakan ialah “Noah”, selaras dengan nama kedua-dua abangnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan Hospital Pantai Melaka yang telah memberikan komitmen penuh sepanjang proses kelahiran serta berkongsi kegembiraan bersama keluarga mereka.
Kredit: Kosmo!