Perjalanan seorang lelaki warga emas yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan serta pernah diserang strok menyentuh hati ramai apabila beliau menerima senaskhah al-Quran Braille lengkap dengan terjemahan bahasa Inggeris.
Kisah itu dikongsikan oleh pendakwah bebas Muhammad Roger Arnold menerusi satu hantaran di Facebook, yang memaparkan usaha berterusan pihaknya dalam membantu saudara baharu tersebut mendalami ajaran Islam.
![]()
Menunggu Hingga Lewat Malam, Warga Emas OKU Gembira Terima Al-Quran Braille
Menurut Muhammad Roger, naskhah khas berkenaan berjaya diperoleh selepas beberapa hari usaha dilakukan dengan bantuan seorang rakan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Beliau memaklumkan warga emas itu kelihatan sangat gembira sebaik menerima al-Quran Braille bersama terjemahan bahasa Inggeris tersebut.
Lebih menyentuh perasaan, lelaki berkenaan sanggup berjaga sehingga sekitar jam 10 malam semata-mata menunggu ketibaan mereka, malah sempat berpesan supaya mereka berhati-hati di jalan raya seperti seorang ayah.
![]()
Dalam kunjungan itu, Muhammad Roger yang juga Pengerusi Persatuan Inspirasi Mualaf (PIM) bersama pasukannya turut memulakan bimbingan asas agama kepada saudara baharu tersebut. Mereka membantu beliau mengambil wuduk sebelum menunaikan solat Isyak secara berjemaah.
Momen itu menjadi lebih bermakna apabila lelaki berkenaan meluahkan rasa syukur selepas selesai menunaikan solat pertamanya sebagai seorang Muslim dengan mengucapkan terima kasih.
![]()
Walaupun berdepan kekangan penglihatan dan pergerakan yang terbatas akibat masalah kesihatan, beliau tetap menunjukkan semangat yang tinggi untuk mempelajari dan memahami ajaran Islam. Muhammad Roger berkata, pihaknya akan terus memberikan bantuan termasuk membawa lelaki itu mendapatkan sokongan daripada Baitulmal serta mendaftarkannya ke kelas agama di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
Tambah beliau, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen pihaknya untuk memastikan setiap saudara baharu tidak dibiarkan bersendirian selepas memeluk Islam. Jelasnya, bantuan yang diberikan bukan sekadar pada peringkat awal memeluk agama, malah merangkumi bimbingan ilmu agama secara berterusan melalui kerjasama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan PIM.
Kredit: Facebook Muhammad Roger Arnold