Baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan seorang wanita duduk di atas riba pemandu bas ketika kenderaan tersebut sedang bergerak.

Berdasarkan siasatan pihak polis, kejadian itu dipercayai berlaku ketika bas ekspres berkenaan melalui susur keluar Bemban di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, sebelum tindakan tersebut dilakukan atas alasan wanita terbabit ingin merasai pengalaman memandu bas.

Wanita Duduk Atas Riba Pemandu Bas, Dakwa Teringin Memandu Kenderaan

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert memaklumkan pasangan berusia 36 dan 21 tahun itu baru berkenalan kira-kira lima bulan lalu, dengan wanita berkenaan bekerja sebagai kerani kaunter tiket di sebuah syarikat bas lain.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan serta mengundang risiko kepada penumpang dan pengguna jalan raya lain. Kedua-duanya telah hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin sebelum ditahan, dan pihak polis akan memohon perintah reman terhadap mereka pada Khamis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua individu itu hadir ke IPD menaiki kereta Proton Persona dengan memakai pelitup muka, manakala syarikat bas terbabit dilaporkan telah menamatkan perkhidmatan pemandu berkenaan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]