Seorang lelaki berusia 24 tahun yang tular baru-baru ini kerana memakai kostum menyerupai ikan duyung sambil berjoget di sebuah gerai air balang dipercayai di Pengkalan Chepa telah ditahan bagi membantu siasatan.
![]()
Lelaki Berkostum Duyung Ditahan, Terima RM200 Untuk Promosi Air Balang
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan berkata, suspek ditahan di kediamannya di Kampung Chetok, Pasir Mas sebelum dibawa untuk direkodkan keterangan. Bagaimanapun, lelaki terbabit kemudian dibebaskan dengan bon jaminan selepas proses tersebut selesai.
Pihak berkuasa membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 19 dan 20 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kelantan atas dakwaan berpakaian menyerupai wanita dan berkelakuan tidak sopan di tempat awam dan dia diarahkan hadir semula pada 8 Jun bagi tindakan lanjut.
![]()
Menurut Mohamed Fadzli, hasil siasatan mendapati lelaki itu menerima bayaran sebanyak RM200 daripada pemilik gerai berkenaan untuk menghasilkan kandungan promosi bagi tujuan melariskan jualan.
Video berdurasi 26 saat itu dirakam sehari sebelum Ramadan, namun dimuat naik ke media sosial pada hari pertama Ramadan sehingga mencetuskan kecaman dalam kalangan netizen yang menyifatkan tindakan berkenaan tidak wajar, khususnya dalam bulan yang mulia. Beliau menasihatkan para peniaga agar tidak menggunakan pendekatan sedemikian semata-mata untuk menarik perhatian pelanggan.
![]()
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah memaklumkan notis telah dikeluarkan kepada peniaga terlibat supaya memadamkan kandungan promosi berkenaan. Semakan mendapati peniaga tersebut memiliki lesen sah dan tiada peruntukan undang-undang sedia ada untuk mengenakan kompaun terhadap bentuk promosi seperti itu, namun kerajaan negeri akan meneliti cadangan penambahbaikan peraturan pada masa hadapan.
Walaupun masih dibenarkan beroperasi, gerai berkenaan dilaporkan ditutup sejak isu itu menjadi tular.
Kredit: Harian Metro