Satu pementasan teater di sebuah universiti terkemuka mencetuskan perdebatan hangat selepas didakwa memaparkan beberapa babak yang dianggap keterlaluan, termasuk adegan di atas katil serta aksi sentuhan antara pelakon di atas pentas.
Isu berkenaan mula mendapat perhatian selepas teguran dibuat secara terbuka oleh beberapa pihak yang mempersoalkan kesesuaian kandungan tersebut untuk dipersembahkan dalam persekitaran institusi pengajian tinggi. Dakwaan itu turut menyebut bahawa penonton memberi sorakan dan reaksi seolah-olah menyokong adegan yang dipertontonkan.
![]()
Adegan Atas Katil Dalam Teater Universiti Undang Perdebatan
Pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung antara yang tampil menyuarakan kebimbangan berhubung perkara itu menerusi satu kenyataan di media sosial. Beliau mempersoalkan kewajaran babak bersentuhan dan adegan di atas ranjang dipersembahkan walaupun dalam konteks lakonan, sambil menegaskan bahawa nilai moral dan batas kesopanan perlu terus dijaga, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pelajar di institusi pendidikan tinggi. Beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap reaksi penonton yang didakwa bersorak serta teruja dengan babak berkenaan.
Menurutnya lagi, situasi seperti ini menimbulkan keperluan untuk diwujudkan garis panduan yang lebih jelas bagi penganjuran teater atau persembahan seni di universiti. Jelas beliau, garis panduan tersebut bukan bertujuan menyekat kebebasan berkarya, sebaliknya bagi memastikan kehormatan semua pihak sentiasa terpelihara dan isu sensitiviti dapat dielakkan pada masa hadapan.
![]()
Dalam kenyataan sama, beliau turut mengaitkan perkara itu dengan hadis Nabi Muhammad SAW yang membawa maksud bahawa apabila hilang rasa malu, seseorang boleh bertindak sesuka hati.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial turut berpandangan bahawa kebebasan seni tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mempersembahkan kandungan yang boleh menyinggung sensitiviti masyarakat. Menurutnya, keseimbangan antara kreativiti dan nilai moral perlu diberi perhatian, khususnya apabila melibatkan program yang dianjurkan oleh institusi pendidikan tinggi.
Walaupun didakwa memiliki rakaman video penuh kejadian tersebut, pihak yang menegur memilih untuk tidak menyebarkannya kerana menganggap kandungan berkenaan terlalu memalukan untuk dikongsikan kepada umum.
Kredit: Facebook Firdaus Wong Wai Hung, Media Sosial