Universiti Malaya tampil memohon maaf susulan kontroversi yang tercetus selepas video sebuah pementasan teater di universiti itu tular dan mengundang pelbagai reaksi di media sosial.
Dalam satu kenyataan, pihak universiti menjelaskan bahawa berdasarkan syarat umum serta peraturan Karnival Teater (KARVITER), setiap persembahan yang dipentaskan perlu bebas daripada unsur negatif, provokasi atau sebarang kandungan yang boleh menjejaskan nilai agama, moral, etika, budaya serta nama baik institusi.
![]()
UM Mohon Maaf Isu Persembahan Teater Tular, Akui Langgar Garis Panduan
Menurut pihak universiti, hasil penelitian mendapati adegan yang dipersembahkan tidak selaras dengan skrip asal yang sebelum ini telah melalui proses tapisan. Situasi itu sekali gus disifatkan sebagai satu pelanggaran terhadap syarat pertandingan yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Sehubungan itu, universiti menegaskan bahawa mereka tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran garis panduan program mahupun peraturan kampus.
Dalam perkembangan sama, persembahan tersebut telah diputuskan sebagai tidak layak untuk dinilai dalam pertandingan berkenaan. Pihak universiti turut memaklumkan bahawa tindakan susulan sedang diambil bagi memperkukuh aspek pemantauan serta memastikan insiden sama tidak berulang pada masa akan datang.
![]()
Terdahulu, video adegan itu menerima kritikan selepas pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung menyuarakan kebimbangan terhadap kandungan yang dianggap tidak sesuai dipersembahkan dalam sebuah universiti terkemuka, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Kredit: Facebook Universiti Malaya