Pelakon Azar Azmi tampil menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya menggunakan wang sumbangan sebanyak RM40,000 daripada Aliff Syukri bagi mengikat jamin suaminya, Mohd. Apri Hazreen Mohd Sapri.
![]()
Azar Azmi Nafi Guna RM40,000 Ikat Jamin Suami
Menurut Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, 37, perkara tersebut tidak berasas memandangkan mengikut perintah mahkamah, isteri atau ahli keluarga tidak dibenarkan untuk menjadi penjamin kepada suami sendiri. Beliau turut mempersoalkan sumber dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa segala kenyataan yang bukan datang daripadanya tidak boleh dianggap sahih, selain mengakui tidak mampu mengawal segala spekulasi yang tersebar dalam kalangan netizen.
Azar berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Media Prima pada Khamis. Dalam masa sama, pelakon drama Nur 2 itu menjelaskan bahawa dia juga tidak mengetahui sebarang aktiviti mencurigakan melibatkan suaminya sebelum ini kerana berdasarkan pengamatannya, lelaki itu menjalani kehidupan seperti biasa tanpa menunjukkan kemewahan, malah hanya menunggu gaji bulanan seperti orang lain.
![]()
Mengulas mengenai wang sumbangan yang diterima, Azar memaklumkan jumlah tersebut akan digunakan bagi melangsaikan hutang suaminya yang dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit. Jelasnya, keutamaan kini adalah menyelesaikan beban kewangan yang ditanggung, bukan seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Sebelum ini, nama Azar menjadi perhatian selepas dia bersama suaminya direman dan didakwa di mahkamah berhubung kes penipuan wang. Bagaimanapun, Azar telah dibebaskan dan kini akan bertindak sebagai saksi pendakwaan dalam kedua-dua kes berkenaan.
Kredit: OhBulan!