Seorang pemandu bas ekspres bersama teman wanitanya yang sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas video aksi berbahaya mereka tular di media sosial, kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
![]()
Kes Tular Riba Pemandu Bas, Pasangan Direman Bantu Siasatan
Perintah reman sehingga Ahad itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Jasin terhadap lelaki berusia 36 tahun dan wanita berusia 21 tahun di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kedua-dua suspek dilihat tiba di mahkamah sekitar jam 9 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna ungu dan dibawa menaiki trak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Siasatan awal mendapati wanita tersebut, yang bekerja sebagai kerani kaunter tiket bas di syarikat berbeza, mengaku teringin untuk memandu bas sebelum pemandu terbabit membenarkannya memegang stereng ketika kenderaan sedang bergerak. Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert memaklumkan pasangan itu telah berkenalan kira-kira lima bulan lalu dan ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada Rabu.
![]()
Pemandu lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu mempunyai pengalaman selama 10 tahun memandu bas serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau, selain mengakui aksi meriba tersebut hanya berlaku beberapa minit sebelum bas memasuki laluan utama lebuh raya.
Terdahulu, rakaman kejadian itu memaparkan bas ekspres berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai, Johor ketika insiden berlaku. Susulan kejadian tersebut, syarikat pengendali bas, Sri Maju Group dilaporkan telah menamatkan perkhidmatan pemandu berkenaan.
Kredit: Astro Awani