Baru-baru ini tular sebuah video yang memaparkan situasi di sebuah kedai elektronik di Kota Bharu apabila seorang pelanggan membawa kalkulator saintifik yang rosak selepas terkena air untuk dibaiki.
Rakaman tersebut mencetuskan perhatian ramai di media sosial kerana kaedah pembaikan yang dilakukan serta caj RM30 yang dikenakan menjadi perbualan netizen.
@pihtechfm water damage calculator pon boleh #repairiphone #repairandroid #factorymobilekotabharu #creatorsearchinsight #promosi
Caj RM30 Baiki Kalkulator Jadi Bualan Netizen
Berdasarkan perkongsian itu, pemilik kedai telah melakukan proses pengeringan sebelum menggantikan bateri pada kalkulator berkenaan yang didakwa diambil daripada alat kawalan jauh pada ketika itu. Tindakan tersebut kemudian mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai yang mempertikaikan cara pembaikan tersebut serta jumlah bayaran yang dikenakan.
Bagaimanapun, individu yang melakukan kerja pembaikan tampil menjelaskan bahawa bateri yang digunakan sebenarnya adalah bateri baharu. Katanya, bateri tersebut hanya disimpan sementara dalam alat kawalan jauh kerana stok dalam bungkusan asal tidak ditemui ketika proses baik pulih dijalankan.
@pihtechfm Replying to @zlamirul Penjelasan repair calculator RM30
Dia turut menjelaskan bahawa caj RM30 yang dikenakan adalah kadar standard bagi servis kerosakan akibat air dan bukan sekadar kos bateri semata-mata. Menurutnya, untuk peranti lain seperti telefon yang mengalami kerosakan sama, kos pembaikan boleh mencecah antara RM50 hingga RM80 bergantung kepada tahap kerosakan.
Tambahnya, semua caj telah dimaklumkan terlebih dahulu kepada pelanggan sebelum kerja pembaikan dilakukan dan pelanggan juga telah bersetuju dengan harga tersebut tanpa sebarang isu pada waktu itu.
Kredit: TikTok pihtechfm