Masalah lif rosak yang berlarutan di sebuah kediaman di ibu kota mencetuskan kebimbangan apabila seorang wanita terpaksa mengharungi situasi mencabar demi memastikan bapanya dapat menjalani rawatan dialisis.
Menerusi perkongsian di Threads, pengguna dikenali sebagai Ninie memaklumkan lif di Blok 5, Kondo Rakyat Pantai Dalam, Kuala Lumpur telah tidak berfungsi hampir dua minggu, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk terutama warga emas dan individu berkerusi roda.
![]()
Lif Rosak Hampir 2 Minggu, Warga Emas Terpaksa Turun Tangga Untuk Dialisis
Dalam rakaman video yang dikongsikan, bapanya yang menghidap strok sejak hampir 25 tahun lalu dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda dilihat terpaksa menuruni tangga secara perlahan dengan bantuan Ninie. Situasi itu menjadi lebih berbahaya apabila pemegang tangga didapati longgar, berkarat dan bergoyang ketika digunakan.
Ninie turut menjelaskan bahawa dia perlu berulang-alik, terlebih dahulu membawa turun kerusi roda ke kereta sebelum naik semula untuk membantu bapanya turun dan mereka hampir terjatuh ketika melalui tangga tersebut.
Menurutnya, bapanya perlu menjalani rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu, menyebabkan dia terpaksa menggunakan sepenuh tenaga setiap kali turun naik tangga. Sebelum ini, Ninie pernah membawa bapanya tinggal di rumah adiknya kerana masalah sakit kaki, namun warga emas itu tetap mahu pulang ke rumah sendiri walaupun berdepan kesukaran tanpa lif.
Dalam hantaran berasingan, Ninie turut berkongsi keadaan pemegang tangga yang uzur dan membahayakan keselamatan penduduk.
![]()
Ninie turut memaklumkan bahawa beberapa penduduk termasuk dirinya telah membuat aduan kepada pihak pengurusan, dan isu tersebut juga telah dimaklumkan kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dengan harapan tindakan segera dapat diambil. Dalam perkembangan terbaharu, bapanya meminta agar dia mengambil cuti sekiranya lif masih belum dibaiki, malah terdapat hari di mana mereka terpaksa menangguhkan rawatan dialisis kerana masalah itu masih berlarutan.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai yang meluahkan simpati, selain ada yang menyarankan supaya laporan lanjut dibuat kepada pihak berkaitan. Pada masa sama, segelintir netizen berpendapat kerosakan lif tersebut mungkin berpunca daripada kekurangan dana penyelenggaraan akibat kegagalan sebahagian penduduk menjelaskan yuran.
Kredit: Threads niniebrahem.7