Seorang lelaki yang tular di media sosial selepas rakaman video memaparkan dirinya ditarik dari motosikal sebelum kepalanya dipijak dalam kejadian di Jalan Tunku Putra disahkan telah ditahan pihak polis.

Polis Sahkan Lelaki Dalam Video Tular Tarik Penunggang Motosikal Positif Bahan Terlarang

Suspek berusia 32 tahun itu diberkas selepas cuba melarikan diri sejauh kira-kira lima kilometer dengan menunggang motosikal secara berbahaya, termasuk melawan arus sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng, cubaan menahan suspek turut mencetuskan pergelutan apabila lelaki itu bertindak agresif dengan menendang motosikal anggota sebelum melarikan diri.

Hasil pemeriksaan ke atas motosikal yang ditungganginya menemukan dua bungkusan plastik lut sinar disyaki mengandungi air rebusan daun ketum. Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan akan dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman, manakala kes disiasat di bawah Akta Racun 1952, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.

Kredit: BERNAMA

 

[fbcomments]