Seorang penunggang motosikal lelaki berusia 24 tahun diberkas polis bagi membantu siasatan berhubung satu kejadian khianat yang berlaku di kaunter bayaran Plaza Tol Kajang di LEKAS, selepas rakaman insiden itu tular di media sosial.
![]()
Video di bawah:
https://x.com/mhmmdhsm/status/2048617061795160220?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw
Penunggang Motosikal Ditahan, Tendang Kereta Di Plaza Tol Kajang Tular
Video berkenaan memaparkan seorang lelaki bertindak agresif dengan menendang sebuah kenderaan sambil memarahi pemandunya. Kejadian tersebut dipercayai berlaku sekitar jam 4 petang pada Ahad lalu di laluan menghala ke selatan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof memaklumkan, siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang pemandu e-hailing warga tempatan berusia 65 tahun yang ketika itu memandu kereta jenis Proton Saga. Akibat tindakan suspek, kenderaan mangsa dilaporkan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan sebelah kiri. Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut bagi tindakan lanjut.
Bertindak atas laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang menjalankan risikan sebelum berjaya menahan suspek di sekitar Kajang. Lelaki tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat.
![]()
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh berdepan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun, atau dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, polis mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengawal emosi ketika berada di jalan raya serta mematuhi undang-undang lalu lintas. Sikap bertimbang rasa dan pemanduan berhemah amat penting bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Kredit: Facebook Polis Daerah Kajang