Satu operasi penguatkuasaan agama dijalankan sekitar jam 12.50 tengah malam Ahad di sebuah rumah di Sungai Seluang, Kulim susulan aduan orang awam.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad memaklumkan ketika pemeriksaan dilakukan, seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an membuka pintu rumah tersebut dan didapati berada di ruang tamu bersama seorang individu lain sambil menonton televisyen. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan sepasang remaja di dalam sebuah bilik.

Wanita Warga Emas Persoal Serbuan, Remaja 17 Tahun Ditemui Bersama Lelaki

Menurut beliau, pasangan terbabit mengakui mereka bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram. Remaja perempuan berusia 17 tahun itu turut memaklumkan ibunya mengetahui kehadiran lelaki tersebut di dalam bilik dan tidak menghalangnya kerana mendakwa mereka tidak melakukan sebarang perbuatan salah.

Dalam masa sama, wanita warga emas berkenaan turut mempersoalkan tindakan serbuan serta bertanyakan pihak yang membuat aduan sehingga operasi dijalankan.

Hasil semakan mendapati lelaki berusia 20 tahun itu berasal dari Pulau Pinang dan bekerja di sebuah bengkel sementara menunggu pekerjaan baharu selepas diberhentikan kerja sebelum ini. Difahamkan, kedua-dua remaja tersebut mula berkenalan kira-kira lapan bulan lalu melalui aplikasi TikTok sebelum terus berhubung menerusi Telegram.

Lelaki itu juga mendakwa kehadirannya ke rumah berkenaan pada malam kejadian adalah untuk membantu mewarnakan rambut, selain mengakui sering datang menghantar makanan dan membantu ibu kepada remaja perempuan tersebut.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 25 (a)(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat, dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]