Pemergian pelakon veteran Jalil Hamid pada usia 69 tahun bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah turut membawa bersama hasrat besar yang tidak sempat ditunaikan.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia sekitar jam 12.30 tengah hari di kediamannya di Taman Alam Megah selepas berdepan komplikasi jantung, sekali gus menggagalkan impiannya untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.
![]()
Impian Ke Tanah Suci Terhenti, Jalil Hamid Meninggal Dunia Akibat Komplikasi Jantung
Menurut anak kelimanya, Afiqah Jalil, 33, bapanya sebelum ini telah membuat pelbagai persiapan rapi termasuk menghadiri kursus haji serta memperbaharui pasport, namun masalah kesihatan menjadi penghalang. Hasrat tersebut bukanlah perkara baharu, sebaliknya sering menjadi topik perbualan dalam keluarga kerana Allahyarham memang menyimpan keinginan mendalam untuk ke Tanah Suci.
Walaupun terkilan, keluarga sentiasa cuba menenangkan beliau, apatah lagi tahun lalu hanya isterinya yang berpeluang menunaikan haji.
![]()
Dalam masa sama, Afiqah meluahkan rasa syukur kerana masih sempat meluangkan banyak masa bersama bapanya, dengan hubungan mereka sering diwarnai gurauan yang kini menjadi kenangan berharga. Dari segi kesihatan, Allahyarham sebelum ini mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara dan menghadiri temu janji susulan seperti biasa. Malah, sehari sebelum pemergiannya, mereka sempat berbual sebelum Allahyarham dilaporkan banyak berehat di bilik selepas waktu Subuh.
Lebih memilukan, beberapa perancangan keluarga juga tidak sempat direalisasikan termasuk pelancaran buku autobiografi Allahyarham di Singapura yang dijadualkan berlangsung minggu depan. Menurut Afiqah, bapanya sangat teruja dengan projek tersebut dan aktif mempromosikannya menerusi siaran langsung.
![]()
Jenazah Allahyarham telah diuruskan di Masjid Al-Munawwarah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 selepas solat Asar.
Kredit: Berita Harian