Perjalanan seorang penunggang p-hailing mencari rezeki berakhir dengan tragedi apabila Azim Haikal Noor Aziddin dilaporkan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah Proton X70 di Jalan 17/21, Petaling Jaya pada Selasa.

Lebih menyayat hati, arwah yang juga mahasiswa Universiti Islam Selangor (UIS) difahamkan hanya berbaki kira-kira tiga minggu sebelum meraikan hari konvokesyennya.

Tinggal 3 Minggu Sebelum Konvokesyen, Rider P-Hailing Maut Dirempuh Proton X70

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads dikenali sebagai faizalroadtofit yang memaklumkan mangsa merupakan jirannya dan ketika kejadian, arwah sedang bekerja sebagai penghantar makanan.

Pemergian Allahyarham turut dirasai warga UIS apabila Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains Sosial memaklumkan arwah merupakan penuntut Diploma Komunikasi di fakulti berkenaan. Jenazah selamat dikebumikan sekitar jam 10 pagi Rabu di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.

“PMFSS ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga atas kehilangan yang amat dirasai ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” tulisnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shamsudin Mamat berkata siasatan awal mendapati pemandu Proton X70 berusia lingkungan 70-an dipercayai hilang kawalan akibat kecuaian ketika dalam perjalanan pulang sebelum merempuh mangsa di laluan bertentangan.

Pemandu terbabit mempunyai lesen memandu yang sah dan telah ditahan bagi membantu siasatan, namun ujian saringan air kencing serta alkohol didapati negatif. Lelaki itu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan dan mempunyai penyakit tertentu.

Kredit: Threads faizalroadtofit

 

[fbcomments]