Seorang peniaga yang pernah menjadi perhatian umum berhubung kes menyebabkan bekas isterinya, Jahidah Nordin, koma, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan baharu melibatkan kecederaan parah terhadap isteri keduanya.

Rosmaini Berdepan Dua Pertuduhan Baharu, Didakwa Cederakan Isteri Guna Kerusi & Besi

Tertuduh, Rosmaini Abdul Raof, 43, bagaimanapun menafikan kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Najwa Che Mat. Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan mencederakan isterinya, Nurfitri Moktar, 39, dalam dua insiden berasingan yang berlaku di sebuah kediaman di Bandar Amanjaya.

Bagi kejadian pertama pada 29 Mac, tertuduh didakwa menyerang mangsa menggunakan kerusi plastik dan getah paip sehingga menyebabkan kecederaan. Manakala dalam kejadian kedua pada 23 April, dia sekali lagi didakwa mencederakan mangsa menggunakan penyangkut baju serta besi penyangkut langsir.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A, yang memperuntukkan hukuman lebih berat kerana melibatkan keganasan terhadap pasangan. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan, selain hukuman boleh digandakan di bawah peruntukan Seksyen 326A.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh memandangkan dia kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang atas kes terdahulu.

Untuk rekod, pada 4 Mei lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara maksimum 14 tahun selepas dia didapati bersalah dalam kes menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah Nordin sehingga wanita itu koma sejak tahun 2021.

Selain kes di Sungai Petani, tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan lain yang dijadualkan untuk disebut di Mahkamah Alor Setar pada 14 dan 15 Jun. Mahkamah kemudian menetapkan 16 Jun sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan laporan perubatan mangsa.

Kredit: Buletin TV3

[fbcomments]