Hakim Mahkamah Rayuan Korea Selatan, Shin Jong-o ditemukan meninggal dunia berhampiran Mahkamah Tinggi Seoul kira-kira jam 1 pagi Rabu, hanya lapan hari selepas beliau mengetuai perbicaraan rayuan melibatkan bekas wanita pertama negara itu, Kim Keon Hee.
![]()
Hakim Shin Jong-o Ditemui Maut Selepas Kendalikan Kes Berprofil Tinggi Kim Keon Hee
Menurut Balai Polis Seoul Seocho, mendiang dipercayai terjatuh dari sebuah bangunan, namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. Polis turut menemui satu surat dipercayai nota yang ditinggalkan Shin, namun kandungannya tidak menyentuh mengenai keputusan kes membabitkan Kim.
Media tempatan melaporkan nota tersebut hanya mengandungi ayat, “Saya minta maaf. Saya pergi atas pilihan sendiri.” Setakat ini, pihak berkuasa memaklumkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian berkenaan.
![]()
Terdahulu pada 28 April lalu, Shin mengetuai panel mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara empat tahun terhadap Kim Keon Hee selepas mahkamah rayuan mendapati beliau bersalah melanggar Akta Pasaran Modal dalam kes manipulasi saham Deutsche Motors. Mahkamah turut mendapati Kim bersalah atas semua pertuduhan salah guna pengaruh melibatkan penerimaan barangan mewah daripada Gereja Unifikasi.
Selain hukuman penjara, Kim dikenakan denda sebanyak 50 juta won, bersamaan kira-kira RM135,594. Mahkamah turut mengarahkan rantai leher jenama Graff bernilai 62.2 juta won atau sekitar RM168,679 disita, selain pelucuthakan tambahan sebanyak 20.94 juta won bersamaan kira-kira RM56,786.
![]()
Untuk rekod, Shin dilahirkan di Seoul dan memulakan kerjaya kehakiman pada tahun 2011 di Mahkamah Daerah Seoul cawangan Uijeongbu.
Kredit: Berita Harian