Suasana di sebuah pusat hiburan di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai bertukar kecoh selepas satu insiden tembakan yang berlaku pada malam Ahad mengorbankan seorang lelaki, selain dipercayai mencederakan sekurang-kurangnya dua individu lain.

Insiden Tembakan Di Skudai Ragut Nyawa Lelaki, Polis Kesan Dua Individu

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang wanita berusia 27 tahun sekitar jam 11 malam. Hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan 27 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan.

Dalam kejadian sama, seorang lagi lelaki yang juga dipercayai berusia sekitar 27 tahun mengalami kecederaan selepas terkena tembakan dan sedang menerima rawatan. Polis turut percaya terdapat seorang lagi mangsa yang cedera dalam insiden berkenaan, namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas individu itu dibawa keluar dari lokasi oleh rakannya sejurus kejadian berlaku.

Tambah Kumarasan, pihak polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang dipercayai masih bebas bagi membantu siasatan kes. Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Afiq Izani di talian 019-3683036 atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5113622 dan hotline 07-5114486.

Terdahulu, beberapa gambar memaparkan mangsa yang berlumuran darah serta seorang lagi individu yang mengalami kecederaan tersebar luas di media sosial dan menarik perhatian ramai.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]