Pelakon Norman Hakim berkongsi berita gembira apabila dua anak perempuannya, Marissa Dania dan Maria Danisha, bakal menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Dua Anak Perempuan Norman Hakim Bakal Masuk Universiti, Pilih Jurusan Perniagaan

Menurut perkongsian tersebut, pada awalnya hanya Maria Danisha dirancang untuk mendaftar pengajian. Namun, selepas pihak universiti mencadangkan laluan pendidikan bersama untuk kedua-dua beradik itu berdasarkan keputusan SPM Marissa Dania yang memberangsangkan serta penerimaan positif terhadap cadangan tersebut, perancangan asal akhirnya berubah.

Kedua-duanya akan mengikuti jurusan Pengurusan dan Pentadbiran Perniagaan bermula dari peringkat Diploma sehingga Ijazah Sarjana Muda. Pada peringkat Ijazah, Maria Danisha akan memberi tumpuan kepada bidang Perakaunan, manakala Marissa Dania pula memilih Pengurusan Sumber Manusia.

Norman dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada pihak universiti, khususnya kepada Puan Norlina yang memberikan penerangan terperinci mengenai perancangan pendidikan jangka panjang tersebut sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda secara lengkap dan tersusun.

Beliau turut memaklumkan bahawa kedua-duanya dijangka memulakan kehidupan kampus pada awal suku ketiga tahun 2026. Maria Danisha dikatakan sangat teruja untuk tinggal di kediaman pelajar, manakala Marissa diberikan fleksibiliti untuk berulang-alik ke kampus kerana komitmen perniagaan yang sedang diuruskan.

Perkongsian itu menerima reaksi positif daripada netizen yang mengucapkan tahniah serta mendoakan agar segala urusan pengajian kedua-dua beradik itu dipermudahkan. Ramai juga menitipkan kata-kata semangat agar mereka terus memberi fokus kepada pelajaran pada usia muda.

Kredit: Instagram normanhakim_786

 

[fbcomments]