Perjalanan hidup seorang wanita bernama Atie Baharain menjadi perhatian ramai selepas kisah penghijrahan hidupnya yang penuh ujian dan pengorbanan dikongsikan di media sosial.
Dibesarkan dalam keluarga yang kuat menghadapi cabaran hidup, Atie mengakui dirinya sudah biasa berdikari sejak kecil selepas kehilangan bapa ketika usianya baru 11 bulan. Arwah bapanya meninggal dunia ketika ibunya sedang mengandungkannya, menyebabkan ibunya memikul tanggungjawab sebagai ibu tunggal selama kira-kira 40 tahun.
![]()
Anak-Anak Gembira Ada Imam Di Rumah, Perjalanan Hidup Wanita Ini Sentuh Hati Ramai
Berasal dari Felda Sungai Behrang dan membesar di Behrang Stesen, Atie kemudian berhijrah ke Shah Alam ketika berusia 17 tahun demi meneruskan kehidupan. Walaupun pernah melalui dua kegagalan rumah tangga, dia tidak pernah menganggap perkara itu sebagai pengakhiran hidup. Sebaliknya, wanita itu melihat enam cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu sebagai amanah besar yang perlu dijaga sebaik mungkin.
Menerusi perkongsian di Facebook, Atie mengakui kehidupannya sebagai ibu tunggal selama lima tahun bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi selepas bekas suami keduanya menghilangkan diri tanpa khabar berita. Situasi itu membuatkan dia perlu memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa dalam masa sama demi memastikan segala keperluan anak-anak mencukupi.
Katanya, dia pernah melalui fasa sukar apabila terpaksa memperjuangkan hak anak-anak, namun akhirnya memilih untuk menyerahkan segala urusan kepada Allah. Kini, dia berusaha memperbaiki segala kekurangan sebagai seorang ibu dan mahu memberikan pendidikan agama terbaik buat keenam-enam anaknya.
![]()
Menurut Atie lagi, dia sering berdoa agar suatu hari nanti dapat membawa anak-anak keluar daripada kesibukan kota dan memulakan kehidupan yang lebih tenang. Doa itu akhirnya dimakbulkan apabila dia mengambil keputusan mendirikan rumah tangga semula pada Disember tahun lalu bersama lelaki pilihannya, Mohd Zaeem Ghufran.
Menariknya, hubungan mereka bermula hanya atas urusan kerja berkaitan pembinaan laman web sekitar lima tahun lalu tanpa melibatkan perasaan cinta pada awalnya. Namun, kesungguhan Zaeem untuk menerima dirinya bersama enam orang anak akhirnya membuka pintu hati Atie untuk kembali berumah tangga.
Dalam perkongsian sama, Atie turut meluahkan penghargaan terhadap suaminya yang sanggup menerima keluarganya dengan hati terbuka. Dia menyifatkan lelaki itu sebagai seorang yang ikhlas dan banyak bersabar dalam melayani kehidupan mereka yang serba mencabar.
Selepas berkahwin, Atie mengambil keputusan berhijrah ke Terengganu untuk memulakan kehidupan baharu. Jelasnya, keputusan itu bukan semata-mata kerana suami, sebaliknya dia merasakan negeri tersebut menjadi tempat terbaik untuk dirinya mencari ketenangan serta meninggalkan trauma dan luka lama.
![]()
Tambahnya lagi, penghijrahan itu lebih kepada perubahan hati dan usaha mendekatkan diri kepada Allah. Malah, dia mengakui memilih untuk meneruskan perkahwinan kali ini kerana percaya dengan pegangan agama suaminya.
Apa yang paling menyentuh hati apabila keenam-enam anaknya turut merestui perkahwinan tersebut. Menurut Atie, anak-anaknya gembira kerana akhirnya mereka mempunyai seorang imam untuk memimpin solat berjemaah dan mengajar mereka mengaji di rumah.
Antara kata-kata anak-anak yang paling menyentuh perasaannya termasuk luahan mereka yang mahu merasai suasana keluarga lengkap serta dapat menunaikan solat bersama seorang imam di rumah. Sebagai individu yang membesar tanpa kasih sayang seorang ayah, Atie berharap anak-anaknya dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dengan kehadiran figura bapa dalam keluarga mereka.
![]()
Walaupun kini kembali bergelar isteri, Atie menegaskan dia tetap akan terus bekerja keras demi membesarkan anak-anak dan tidak mahu meletakkan seluruh tanggungjawab itu kepada suaminya. Baginya, dia masih menjadi tempat bergantung buat enam beradik tersebut dan akan terus berjuang memberikan kehidupan terbaik buat mereka.
Kini, kehidupannya dilihat semakin tenang dan bahagia, selain dapat menikmati kehidupan yang selama ini diimpikan selepas melalui pelbagai fasa sukar dalam hidup.
Kredit: Sinar Harian Plus, Facebook Atie Baharain