Empat pelajar cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai, Kampung Pek, Machang pada Isnin.
![]()
Empat Pelajar Cedera Parah, Motosikal Dinaiki Bertembung Kereta Ketika Ke Sekolah
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang cedera parah ialah penunggang motosikal, Muhammad Muskir Rosli, 14, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan. Tiga lagi pembonceng motosikal tersebut ialah Mas Siti Rosnani Rosli, 7, Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, yang masing-masing merupakan murid Sekolah Kebangsaan Kampung Pek.
Kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang guru wanita berusia 39 tahun. Bagaimanapun, wanita terbabit dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati kereta tersebut sedang bergerak dari arah Machang menghala ke Kuala Krai, manakala motosikal jenis Honda C100 yang dinaiki keempat-empat pelajar itu datang dari arah bertentangan.
![]()
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai membelok ke kanan secara tiba-tiba untuk masuk ke simpang sekolah sebelum melanggar bahagian hadapan sisi kanan kereta yang sedang melalui laluan sah.
Beliau berkata, semua mangsa mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut, manakala kes kini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tindakan lanjut.
Kredit: Sinar Harian