Penduduk dan pengguna jalan raya di Wangsa Maju dikejutkan dengan kejadian lubang benam yang berlaku di Jalan Wangsa Delima 4, berhampiran persimpangan menuju ke Wangsa Walk Mall, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

Jalan Berhampiran Wangsa Walk Mall Ditutup Selepas Lubang Benam Terbentuk

Insiden itu mula tular selepas seorang pengguna Threads, @arifizyani, memuat naik rakaman video pada 11 Mei yang menunjukkan sebahagian permukaan jalan runtuh sehingga membentuk satu lubang besar di bawah jalan. Dalam rakaman tersebut, turut kelihatan air mengalir masuk ke dalam kawasan lubang benam berkenaan.

Pengguna terbabit turut memberi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati sekiranya melalui laluan tersebut memandangkan keadaan jalan yang berisiko.

Perkongsian itu kemudian menerima perhatian meluas dengan hampir 900,000 tontonan di media sosial. Dalam masa sama, seorang lagi pengguna turut berkongsi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan sebuah kereta melalui lokasi sama beberapa saat sebelum kejadian berlaku, sebelum kenderaan itu dilihat terhentak dan berhenti di tepi jalan.

Insiden tersebut turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen termasuk yang menyifatkan kawasan itu sebagai berisiko tinggi memandangkan ia dikelilingi bangunan kediaman bertingkat seperti apartmen dan kondominium.

Sebahagian pengguna media sosial turut mengaitkan kejadian itu dengan kemungkinan hakisan jangka panjang, dipercayai berpunca daripada sistem saliran atau aliran air permukaan yang melemahkan struktur tanah secara berperingkat.

Sementara itu, Astro Radio Traffic memaklumkan bahawa laluan terlibat telah ditutup sementara bagi kerja-kerja pembaikan, dan pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif sehingga keadaan kembali selamat.

Kredit: Threads arifizyani

[fbcomments]