Seorang kanak-kanak perempuan yang terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 51.4 Jalan Kota Bharu–Kuala Krai berhampiran Kampung Pek ketika dalam perjalanan ke sekolah pada pagi semalam telah menjalani pembedahan memotong kaki kanan sehingga ke paras paha bagi mengelakkan komplikasi lebih serius.

Kanak-Kanak 7 Tahun Terpaksa Potong Kaki Selepas Kemalangan Di Machang

Menurut Nadzri Abdullah, 51, anak saudaranya, Mas Siti Rosnani Rosli, 7, kini sedang menerima rawatan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bagi pemantauan berterusan. Katanya, pembedahan terpaksa dilakukan selepas doktor mendapati berlaku pembekuan darah serta tisu dan daging pada bahagian kaki berkenaan telah mati, sekali gus berisiko menyebabkan komplikasi lebih teruk jika tidak dipotong.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan seorang lagi anak saudaranya, Muhammad Muskir Rosli, 14, dijadualkan menjalani pembedahan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai pada hari ini. Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius apabila tulang paha kanan hancur dan memerlukan pemasangan besi pada bahagian berkenaan.

Tambahnya, dua lagi mangsa iaitu Muhamad Hakikat Abdul Rahman, 9, dan Muhammad Zulhaqif Muhamad Zulkifli, 12, berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di hospital yang sama.

Nadzri turut merayu orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berhubung keadaan semua mangsa yang sedang dirawat, selain memohon agar orang ramai dapat mendoakan kesembuhan mereka.

Sebelum ini, media melaporkan empat pelajar terbabit cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta dalam kejadian tersebut. Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Honda Jazz dipandu seorang guru wanita dari arah Machang ke Kuala Krai sebelum berlanggar dengan motosikal Honda C100 yang dinaiki kesemua mangsa dari arah bertentangan.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]