Seorang pelajar kolej vokasional berusia 19 tahun didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Nurfisya Zulkifly, 19, dalam kejadian yang dilaporkan berlaku dua minggu lalu.
![]()
Pelajar Kolej Vokasional Berdepan Hukuman Mati Jika Sabit Kesalahan
Tertuduh, Muhammad Hazim Muhammad, hanya menunjukkan reaksi mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid. Namun, tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kejadian tersebut berlaku dalam tempoh antara tengah malam 30 April hingga 1 Mei di kawasan Ketereh. Mangsa ditemui maut dengan 61 kesan tikaman pada seluruh tubuh. Identiti mangsa disahkan melalui cap jari serta satu rantai leher berukiran nama ‘Syaa’ yang dipakai ketika kejadian berlaku.
![]()
Tertuduh kini berdepan hukuman berat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan. Kes tersebut ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 Julai depan bagi tujuan melengkapkan laporan pakar berkaitan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Kelantan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Alias Ibrahim. Mahkamah menetapkan tarikh sama, iaitu 2 Julai, sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan pakar disediakan.
Kredit: Kosmo!