Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu dilaporkan meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sebuah sekolah menengah di Paloh, Gua Musang pada Selasa.

Pendarahan Kepala Dan Paru-Paru Berair Dipercayai Punca Kematian Pelajar Tingkatan Satu

Mangsa yang berusia 13 tahun itu kemudiannya dibawa oleh pihak sekolah ke Klinik Kesihatan Chiku 3 bagi mendapatkan rawatan segera. Bagaimanapun, pegawai perubatan mengesahkan remaja terbabit telah meninggal dunia sebaik tiba di fasiliti kesihatan tersebut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pada jam 3.30 petang di Hospital Gua Musang mendapati punca kematian dipercayai akibat pendarahan spontan di bahagian kepala selain keadaan paru-paru berair.

Menurut beliau, siasatan lanjut yang dijalankan setakat ini tidak menemukan sebarang unsur jenayah berkaitan kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Beliau turut memaklumkan mayat pelajar berkenaan telah diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian. Dalam masa sama, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden itu demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]