Empat lelaki warga asing yang dipercayai pelancong dari China ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pecah rumah serta cubaan melarikan diri dan merempuh anggota polis dalam kejadian di Kuala Perlis, Kangar.
![]()
Kes Pecah Rumah Di Kuala Perlis: Empat Warga Asing Ditahan, Pelbagai Peralatan Ditemui
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, kejadian terbongkar selepas pihak polis menerima maklumat orang awam mengenai sebuah kenderaan jenis Toyota Innova berwarna perak yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan Taman Sentosa, Kuala Perlis.
Menurut beliau, sebaik pasukan Task Force Balai Polis Kuala Perlis bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dan Unit Risikan Polis Marin tiba di lokasi, anggota polis memperkenalkan diri serta menunjukkan kad kuasa sebelum suspek bertindak memecut laju bagi mengelakkan diri daripada ditahan.
Suspek kemudian dikesan cuba merempuh sekatan jalan raya di Kampung Wai sebelum berjaya dipintas dan ditahan oleh pihak polis.
Bagaimanapun, ketika cubaan tangkapan dibuat, suspek dilaporkan enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan mengundurkan kenderaan sehingga hampir melanggar anggota polis yang berada di lokasi.
![]()
Pasukan polis terpaksa memecahkan cermin belakang serta cermin sisi kenderaan sebelum berjaya membuka pintu dan memberkas kesemua suspek selepas berlaku pergelutan kecil.
Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan turut menemui pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.
Siasatan lanjut mendapati kesemua suspek berusia antara 45 hingga 52 tahun itu memasuki negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pas pelancong dan tidak mempunyai pekerjaan di Malaysia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan semua suspek kini direman bagi membantu siasatan.
Kredit: Kosmo!