Kesemua 29 rakyat Malaysia yang sebelum ini ditahan Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dilaporkan selamat tiba di Istanbul, Turkiye pada jam 5.45 petang waktu tempatan semalam.
Perkara itu disahkan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memaklumkan keadaan semua peserta kini stabil walaupun enam individu termasuk lima lelaki mengalami kecederaan dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut.
![]()
29 Rakyat Malaysia Ditahan Israel Selamat Tiba Di Turkiye
Sebelum ini, seramai 428 aktivis kemanusiaan termasuk delegasi Malaysia ditahan ketika berada di perairan antarabangsa semasa misi bantuan ke Gaza berlangsung. Bagaimanapun, kesemua mereka telah dibebaskan dan proses membawa pulang peserta sedang dijalankan dengan bantuan kerajaan Turkiye.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah menggerakkan tiga pesawat khas Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon di wilayah Israel bagi membawa keluar semua aktivis terbabit.
![]()
Menurutnya, kesemua peserta flotilla dipindahkan menggunakan bas ke lapangan terbang sebelum diterbangkan ke Istanbul menerusi tiga penerbangan khas Turkish Airlines dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925. Delegasi Malaysia dijangka disambut oleh pihak Kedutaan Malaysia di Turkiye, Wisma Putra serta kerajaan Turkiye sebaik tiba di sana.
Dalam masa sama, semua peserta Malaysia akan menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital Turkiye susulan laporan terdapat tahanan yang dipukul dan mengalami kecederaan ketika ditahan. SNCC turut memaklumkan delegasi Malaysia dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.
Kredit: Berita Harian