Nama usahawan dan pempengaruh Syida Melvin kembali menjadi perhatian ramai selepas beberapa perkongsian dimuat naik di media sosial dipercayai berkaitan konflik rumah tangganya yang masih dalam proses mahkamah.
Sebelum ini, pada 13 April lalu, kisah pergolakan rumah tangga melibatkan dirinya mula diperkatakan umum selepas difahamkan Syida telah memfailkan penceraian pada Disember 2025 dan prosiding berkaitan masih berjalan sehingga kini.
![]()
Syida Melvin Dakwa Hilang Hak Dalam Syarikat, Kongsi Isu Hutang Dan Bank
Terbaharu, hantaran yang dimuat naik oleh adik kepada Syatilla Melvin itu mencetuskan pelbagai tanda tanya dalam kalangan pengikut apabila dia meluahkan rasa kecewa terhadap situasi yang berlaku melibatkan syarikat yang didakwa dibangunkan menggunakan 50 peratus modal miliknya sendiri. Menerusi perkongsian tersebut, Syida mendakwa dirinya seolah-olah hilang hak dalam syarikat berkenaan sehingga terpaksa “meminta” dalam perniagaan yang turut membawa namanya.
Menurutnya, individu yang dirujuk sebagai “SS” dipercayai gagal menguruskan kewangan syarikat dengan baik termasuk membiarkan beberapa hutang tertunggak. Malah, Syida turut mendakwa individu berkenaan pernah tinggal di rumah kelamin mereka tanpa membuat bayaran bulanan sehingga menyebabkan dirinya berdepan tekanan apabila dikejar pihak bank.
![]()
Walaupun sebelum ini memilih untuk berdiam diri dan tidak mahu urusan peribadi diketahui umum, Syida dilihat mula bersuara selepas mendakwa kesabarannya semakin tercabar. Dalam masa sama, dia tetap berusaha meneruskan kehidupan demi anak tercinta walaupun sedang melalui konflik yang mencabar.
![]()
Tinjauan di media sosial turut mendapati kakaknya, Syatilla Melvin, ada memuat naik perkongsian berkaitan ciri-ciri individu narsisistik, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dan spekulasi daripada netizen mengenai situasi yang sedang dihadapi keluarga tersebut.
Kredit: Instagram syidamelvin