Sikap jujur seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal dikenali sebagai Azlan meraih perhatian ramai selepas dia memilih untuk menyerahkan sejumlah wang tunai yang ditemuinya kepada pihak berkuasa berbanding menyimpannya sendiri.

Kisah tersebut dikongsikan menerusi video di TikTok oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem selepas Azlan hadir ke pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Duyong pada Selasa lalu bagi menyerahkan wang berkenaan.

@mnhelmy

Kalau ada sesiapa yang kehilangan wang tunai sejumlah RM 🤑🤑🤑 bolehlah ke Balai Polis Kandang, Melaka Tengah ye.. #MelakaSayangRakyat #DUYONGkita #ybMatDuyong #ceritaduyong #melaka

♬ original sound – Mohd. Noor Helmy – Mohd. Noor Helmy

Gigil Jumpa Duit Banyak, Lelaki OKU Pilih Serah Kepada Polis

Menurut Azlan, dia berasa gementar selepas menemui wang tunai dalam jumlah besar itu sehingga tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Dia kemudian mengambil keputusan untuk pergi ke pejabat Japerun Duyong kerana takut untuk berurusan sendiri di balai polis selain bimbang jika wang tersebut digunakan untuk perkara yang tidak sepatutnya.

“Menggigil saya bila jumpa duit sebanyak itu. Jadi tak tentu arah terus saya teringat YB (Yang Berhormat) dan datang ke sini untuk serah duit. Nak pergi balai polis saya takut sebab tak pandai nak cakap macamana. Banyak duit itu nak buat minum pun saya takut apa nak jawab ka ‘sana’ (akhirat) nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Noor Helmy berkata beliau menerima berita mengenai penemuan wang tersebut ketika sedang menghadiri program rasmi dan mengakui terkejut dengan tindakan jujur lelaki berkenaan. Katanya, Azlan langsung tidak menjadikan kekurangan fizikal yang dialaminya sebagai alasan untuk mengambil hak orang lain walaupun berdepan pelbagai cabaran hidup.

Beliau turut menyifatkan sikap seperti itu semakin sukar ditemui pada masa kini dan amat menghargai kejujuran yang ditunjukkan Azlan. Menurutnya lagi, wang tunai tersebut telah diserahkan kepada pihak polis di Balai Polis Kandang bagi tujuan mengesan pemilik asalnya.

Orang ramai yang merasakan kehilangan wang dalam jumlah besar diminta tampil membuat semakan dengan pihak polis. Mereka perlu memberikan maklumat berkaitan jumlah wang, lokasi dan waktu kehilangan bagi memastikan wang tersebut dapat dipulangkan kepada pemilik sebenar serta mengelakkan pihak tertentu cuba mengambil kesempatan.

Dalam masa sama, Mohd Noor Helmy turut menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba meneka atau mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut. Beliau berkata, tindakan Azlan membuktikan bahawa walaupun lelaki itu merupakan seorang OKU fizikal, namun nilai kejujuran dan pegangan hidup yang dimilikinya sangat tinggi serta wajar dijadikan contoh kepada masyarakat.

Kredit: TikTok mnhelmy

[fbcomments]