Tiga pekerja pelantar minyak maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terhempas ke laut dalam satu kejadian di Platform Sepat, perairan Terengganu-Kelantan pada Ahad.

Cangkuk Bot Dipercayai Tercabut, Tiga Pekerja Pelantar Terkorban Di Laut

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, keempat-empat mangsa dilaporkan sedang menaiki bot penyelamat bagi turun ke bahagian bawah platform untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas tali atau cangkuk yang dipasang pada bot berkenaan tercabut secara tiba-tiba. Keadaan itu menyebabkan bot penyelamat tersebut jatuh ke laut bersama semua mangsa yang berada di dalamnya.

Menurut beliau, pasukan penyelamat segera digerakkan ke lokasi sebelum berjaya membawa kesemua mangsa naik semula ke atas platform.

“Mangsa kemudian diterbangkan menggunakan helikopter kira-kira jam 4 petang ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Nerus sebelum dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, semua mangsa tiba di LTSM sekitar jam 5 petang sebelum dibawa ke hospital, namun tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia pada jam 5.25 petang.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Taman Merdeka Batu Berendam, Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Jalan Kampung Jawa, Kuantan, Pahang; dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 37, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan mengalami kecederaan parah termasuk patah tulang dan kini masih menerima rawatan di HSNZ. Azli memaklumkan, kes berkenaan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Dalam perkembangan sama, proses bedah siasat terhadap ketiga-tiga mangsa yang maut dijadualkan dijalankan pada jam 8.30 pagi hari ini.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]