Sebuah keluarga di Paka, Terengganu berdepan detik pilu apabila perancangan untuk pulang menyambut Aidiladha di kampung halaman bertukar menjadi tragedi selepas dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi di Sungai Beril, berhampiran Taman Beril.

Dua Beradik Lemas Di Sungai Beril, Seorang Ditemui Maut Seorang Lagi Masih Hilang

Insiden itu menyebabkan salah seorang mangsa, Muhammad Amir Ashraf Mohd Zul-Zunaidi, 15, ditemui tidak bernyawa, manakala usaha pencarian masih giat dijalankan bagi mengesan adiknya, Muhammad Aidil Amsyar, 14, yang masih hilang.

Kedua-dua beradik berkenaan dipercayai ke sungai bersama dua rakan lain sebelum kejadian berlaku. Dua rakan mereka, masing-masing berusia 14 dan 15 tahun, berjaya diselamatkan dalam insiden tersebut.

Lebih menyayat hati, ibu mangsa, Siti Nurfitriah Hasan, 35, memaklumkan bahawa keluarga mereka sepatutnya bergerak pulang ke Kelantan pada keesokan harinya bagi menyambut Aidiladha bersama keluarga di Melor, Kota Bharu.

Menurutnya, anak-anaknya kelihatan ceria dan teruja dengan rancangan pulang beraya itu, namun tidak pernah menyangka ia menjadi perbualan terakhir sebelum kejadian berlaku.

“Saya ingat mereka keluar sekadar nak makan roti canai. Tak sangka rupanya ke sungai,” katanya dengan nada sebak.

Dia turut menjelaskan lokasi sungai tersebut tidak jauh dari rumah mereka di Kampung Kolam, kira-kira empat kilometer jaraknya, sebelum dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh jiran sekitar jam 11 pagi.

Pasukan penyelamat kemudian menemui jasad Muhammad Amir Ashraf pada jam 3.47 petang, manakala operasi mencari adiknya masih diteruskan melibatkan pelbagai agensi termasuk bomba dan polis.

Kejadian lemas membabitkan remaja ketika mandi sungai dilihat masih kerap berlaku terutama pada musim cuti sekolah dan perayaan, sekali gus menjadi peringatan kepada orang ramai mengenai risiko aktiviti di kawasan air terbuka.

Insiden ini turut mengundang simpati orang ramai selepas tersebar di media sosial, dengan rata-rata netizen meluahkan rasa sedih terhadap nasib keluarga berkenaan yang diuji menjelang Aidiladha.

Orang ramai turut mendoakan agar operasi pencarian adik mangsa dipermudahkan serta keluarga tersebut diberikan kekuatan untuk menghadapi detik sukar ini.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]