Seorang wanita yang sedang hamil tidak dapat menahan kesedihan selepas menerima khabar pemergian suaminya dalam satu insiden di sebuah pelantar minyak di perairan Terengganu-Kelantan pada Ahad.

Isteri Hamil Reda Suami Tidak Sempat Temani Saat Berpantang

Wanita berkenaan, Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar jam 4 petang selepas dihubungi pihak majikan suaminya sebelum bergegas ke hospital dari Kuantan bersama ahli keluarga.

Suaminya, Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam merupakan antara tiga pekerja yang disahkan maut selepas bot penyelamat yang dinaiki mereka terjatuh ke laut ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di Platform Sepat. Seorang lagi mangsa turut dilaporkan cedera parah.

Menurut Nurkhaeryna, pada awalnya pihak syarikat hanya memaklumkan suaminya terlibat dalam insiden tanpa memberi penjelasan terperinci mengenai keadaan sebenar.

“Saya terus ke hospital sebaik dimaklumkan. Saya sangat terkejut dan sedih kerana arwah sebelum ini ada merancang untuk menjaga saya sepanjang tempoh berpantang selepas kelahiran anak kedua kami,” katanya.

Allahyarham yang bekerja dalam bidang pelantar minyak sejak 2019 baru sahaja menyertai syarikat berkenaan pada Mac lalu dan dijangka pulang bercuti pada awal Jun.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu, kesemua mangsa dipercayai berada di bot penyelamat untuk melakukan kerja penyelenggaraan di bawah platform sebelum kejadian berlaku.

Selain Muhammad Faezuan, dua lagi mangsa yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, manakala seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu memaklumkan kejadian dipercayai berpunca apabila tali atau cangkuk bot penyelamat tersebut terputus menyebabkan ia terjatuh ke laut bersama mangsa.

Kesemua mangsa kemudian berjaya dibawa naik ke platform sebelum diterbangkan menggunakan helikopter ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud sekitar jam 4 petang dan seterusnya ke hospital.

Bagaimanapun, tiga daripada mereka disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, manakala seorang lagi mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik untuk proses bedah siasat yang dijadualkan pada pagi Isnin, manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]