Empat ahli keluarga termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun dilaporkan maut dalam kemalangan tragis selepas kereta yang dinaiki mereka dihempap sebuah treler di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), pada petang Ahad.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4.30 petang itu dipercayai berpunca apabila treler berkenaan hilang kawalan ketika melalui selekoh berbukit sebelum terbabas lalu menghempap sebuah Honda City yang sedang berada di lorong kiri lebuh raya.
![]()
Empat Sekeluarga Termasuk Bayi Maut, Kereta Dihempap Treler Di KL-Karak
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26, dan Nayla Afya Aizat berusia setahun. Kesemua mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mereka kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk proses bedah siasat.
Situasi di lokasi turut bertukar cemas apabila treler terbabit dilaporkan terbakar ketika proses pengalihan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kebakaran dikesan ketika sebuah jentera penyodok digunakan untuk mengalihkan treler tersebut selepas semua mangsa berjaya dikeluarkan dari kenderaan.
![]()
Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial turut berkongsi keadaan trafik yang sesak teruk susulan kemalangan berkenaan. Seorang pengguna memaklumkan laluan di kawasan Bukit Tinggi menghala ke Kuala Lumpur mengalami kesesakan panjang apabila banyak kenderaan terpaksa berpatah balik dan menggunakan jalan alternatif berikutan beberapa kemalangan serta insiden lori terbalik di kawasan tersebut.
Seorang lagi pengguna jalan raya yang melalui lokasi kejadian sekitar jam 7.11 malam mendakwa treler berkenaan terbakar dan mengeluarkan bunyi letupan ketika operasi pengalihan sedang dijalankan. Dakwanya, keadaan itu menyebabkan suasana di lokasi menjadi lebih tegang ketika pihak berkuasa berusaha menguruskan kejadian tersebut.
Kredit: Berita Harian