Kondominium Highland Towers di Hulu Klang akan dirobohkan sebelum penghujung tahun ini selepas Mahkamah Majistret membenarkan permohonan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) baru-baru ini.
Timbalan Yang Dipertuanya, Hasrolnizam Shaari berkata keputusan tersebut memberi lampu hijau untuk merobohkan struktur bangunan yang telah terbiar lebih tiga dekad itu.
![]()
Highland Towers Bakal Dirobohkan Sebelum Akhir Tahun Ini
Menurutnya, pihak MPAJ kini sedang menyelaras tindakan lanjut termasuk pelantikan pihak yang akan melaksanakan kerja-kerja perobohan. Satu mesyuarat penyelarasan juga akan diadakan bersama pihak pemilik unit yang diwakili pemaju dan pihak insolvensi bagi melancarkan proses tersebut. Beliau menjangkakan kerja perobohan dapat dimulakan dalam tahun ini kerana semua keputusan asas berkaitan pelaksanaan sudah dimuktamadkan.
Dalam masa sama, Hasrolnizam memaklumkan MPAJ kekal komited melaksanakan pelbagai program mesra alam dan inisiatif hijau untuk komuniti setempat. Antara yang dijalankan termasuk kempen kitar semula, penanaman pokok, pendidikan alam sekitar serta program kebersihan.
![]()
Beliau berkata program seperti Hari Tanpa Kenderaan bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya usaha menggalakkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Menurutnya lagi, kelestarian alam memerlukan tanggungjawab bersama masyarakat, termasuk amalan kecil seperti mengurangkan penggunaan plastik dan menjaga kebersihan kawasan sekitar.
Kredit: Harian Metro