Seorang pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan maut di Kilometer 43.2 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang mengorbankan empat sekeluarga disahkan positif dadah.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, ujian saringan air kencing mendapati lelaki berusia 40 tahun itu positif bahan terlarang jenis methamphetamine.

Pemandu Treler Ada 15 Saman Lampau, Positif Dadah Selepas Nahas Maut

Menurutnya, suspek sebelum itu menerima rawatan di hospital sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk ujian saringan air kencing. Lelaki berkenaan kemudian ditahan sekitar jam 4 pagi Isnin sebelum dibawa ke Mahkamah Raub bagi permohonan reman. Polis turut mendedahkan suspek mempunyai 15 rekod saman lampau.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang Ahad itu, sebuah kereta Honda City yang dinaiki empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun dihempap sebuah treler yang terbabas. Semua mangsa iaitu A Halim Hasoon, 55, Rozita Buang, 58, Norbahyah A Halim, 26, dan Nayla Afya Aizat Faizal, 1, maut di tempat kejadian selepas kenderaan mereka tersepit dalam insiden berkenaan.

Treler berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh berbukit sebelum terbabas dan menghempap kereta mangsa, manakala semua jenazah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk bedah siasat.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]