Seorang jurujual berusia 43 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menetak seorang penunggang motosikal sehingga mengalami kecederaan parah dalam satu kejadian di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, minggu lalu. Pengakuan bersalah itu direkodkan di hadapan Hakim Datin Fatimah Zahari selepas pertuduhan dibacakan.
![]()
Jurujual Mengaku Bersalah Tetak Penunggang Motosikal Selepas Dihon
Mengikut kertas pertuduhan, kejadian berlaku di Kilometer 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan pada jam 8.19 pagi, 11 Jun lalu, ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Kuala Lumpur. Difahamkan, insiden tercetus apabila mangsa membunyikan hon kepada seorang penunggang motosikal lain yang dipercayai menghalang laluannya sebelum berlaku perselisihan faham.
Tindakan itu didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati suspek yang kemudian berhenti di tepi jalan sebelum bertindak menetak mangsa menggunakan sebilah pisau pemotong daging, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.
![]()
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan. Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000. Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan melapor diri setiap bulan. Sebutan bagi fakta kes dan jatuh hukum ditetapkan pada 8 Julai depan.
Kredit: Berita Harian