Kisah dua beradik dari Kampung Tanjung Pasir, Temerloh, Pahang yang kehilangan sebelah kaki akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu menyentuh hati ramai selepas video mengenai kehidupan mereka tular di TikTok.
@cendolmelelehtemerloh Dulu, pada tahun 2024, mereka berniaga cendol dengan dua kaki yang sempurna. Hari ini, selepas ujian yang sangat besar, kedua-dua anak perempuan saya telah kehilangan kaki mereka. Namun mereka tidak kehilangan semangat untuk meneruskan kehidupan. Alhamdulillah, kini mereka kembali sihat dan bangkit semula berniaga cendol 💚 Jika ada rezeki dan kelapangan, singgahlah membeli, berkongsi, atau sekadar menyokong dengan doa dan share video ini. Setiap sokongan daripada anda sangat bermakna buat kami. Terima kasih kerana membantu dua pejuang kecil ini untuk terus melangkah mengejar impian. 🥹🙏
Dua Beradik Hilang Kaki Akibat Kemalangan Bangkit Berniaga Cendol Meleleh Demi Bantu Keluarga
Meskipun berdepan kekurangan fizikal, mereka memilih untuk bangkit meneruskan kehidupan dengan mengusahakan sebuah gerai dikenali sebagai Cendol Meleleh, sekali gus membuktikan semangat mencari rezeki tidak pernah luntur walaupun diuji dengan dugaan besar.
Menurut mereka, perniagaan itu dimulakan bagi membantu meringankan beban bapa yang selama ini bekerja melakukan pelbagai kerja kampung untuk menyara keluarga.
![]()
Gerai berkenaan turut menarik perhatian pelanggan kerana menawarkan cendol yang dihasilkan menggunakan resipi sendiri. Keunikannya terletak pada cara penyediaan apabila air gula dituangkan di bahagian atas hidangan, berbeza daripada kebiasaan yang diamalkan oleh kebanyakan peniaga lain.
Mengimbau semula kejadian yang mengubah kehidupan mereka, kedua-dua beradik itu berkata kemalangan berlaku pada tahun 2024 apabila motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta sebelum mereka tercampak ke bawah sebuah lori yang datang dari arah bertentangan.
Akibat kejadian itu, kedua-duanya terpaksa kehilangan sebelah kaki. Namun mereka bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan dan tidak pernah membiarkan keadaan tersebut melemahkan semangat.
![]()
Menurut mereka, sokongan serta kata-kata semangat yang diterima daripada rakyat Malaysia menjadi kekuatan untuk terus bangkit dan mengembangkan perniagaan walaupun berdepan kekurangan fizikal. Gerai Cendol Meleleh itu beroperasi setiap hari bermula pukul 12 tengah hari hingga 6 petang, kecuali pada setiap hari Isnin.
Perkongsian kisah mereka mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen yang rata-ratanya memuji ketabahan serta semangat kedua-dua beradik tersebut. Ramai menyifatkan mereka sebagai inspirasi bahawa setiap ujian hidup boleh ditempuhi dengan usaha, kesabaran dan keazaman untuk terus mencari rezeki yang halal.
Kredit: TikTok cendolmelelehtemerloh, Pahang Media