Kru penerbangan AMAL by Malaysia Airlines, Hafeez Albukhary, disahkan meninggal dunia pada Khamis akibat kanser. Berita pemergian Allahyarham mula diketahui selepas dikongsikan oleh ahli keluarga serta rakan-rakan menerusi media sosial, sekali gus mengundang rasa sedih dalam kalangan kenalan dan orang ramai yang mengenalinya.
![]()
Hafeez Albukhary Meninggal Dunia Selepas Bertarung Dengan Kanser
Ruangan komen di pelbagai platform media sosial turut dipenuhi ucapan takziah dan doa buat Allahyarham. Ramai mendoakan agar segala dosanya diampunkan, dikurniakan rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.
Salah seorang rakan Allahyarham menerusi perkongsiannya memaklumkan bahawa Hafeez telah pergi meninggalkan insan tersayang dan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga yang sedang berduka.
![]()
Sebelum ini, sepupu Allahyarham pernah berkongsi bahawa Hafeez sedang bertarung dengan penyakit kanser serta mengajak orang ramai untuk mendoakan kesembuhan beliau. Perkongsian itu mendapat perhatian ramai yang tidak putus-putus mengirimkan doa dan kata-kata semangat sepanjang Allahyarham menjalani rawatan.
Keadaan kesihatan Hafeez juga pernah menjadi perhatian masyarakat selepas ahli keluarganya memaklumkan beliau sedang melalui fasa rawatan akibat penyakit berkenaan.
Allahyarham dikenali sebagai antara kru penerbangan AMAL by Malaysia Airlines yang sentiasa memberikan layanan mesra kepada jemaah haji Malaysia, terutama warga emas, sepanjang penerbangan ke Tanah Suci.
![]()
Keikhlasan dan sikap prihatin beliau ketika membantu jemaah sering menerima pujian. Malah, video-video yang memaparkan layanan serta usahanya menggembirakan para jemaah pernah tular di media sosial dan menyentuh hati ramai.
Video terakhir yang dimuat naik memaparkan Hafeez bersama jemaah haji dirakam pada 10 Mei lalu. Selepas itu, beliau tidak lagi berkongsi sebarang perkembangan di media sosial sehingga berita pemergiannya disahkan pada Khamis.
Kredit: Thread bawangdanbilisofficial