Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok kelapa yang tumbang dalam kejadian di kawasan tali air Kampung Permatang Pasir Gunung, Bachok, pada petang Khamis.
![]()
Calon SPM Maut Dihempap Pokok Kelapa Tumbang Ketika Hujan Lebat
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu dipercayai berlaku ketika kedua-dua remaja berusia 17 tahun tersebut sedang melalui laluan di kawasan sawah sebelum pokok kelapa berkenaan tumbang secara tiba-tiba akibat hujan lebat dan angin kencang.
Mangsa yang menunggang motosikal, Nik Mohd Haikal Abd Rahim, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Rakan mangsa, Ahmad Iqbal Mukmin yang membonceng motosikal berkenaan pula mengalami kecederaan serius di bahagian kepala, leher dan punggung sebelum dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk menerima rawatan lanjut.
![]()
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut. Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Bachok untuk proses bedah siasat.
Sementara itu, Penghulu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Permatang Pasir, Nor Azman Mohamad berkata, laluan di kawasan tali air itu merupakan jalan yang sering digunakan oleh penduduk kampung termasuk pelajar sekolah.
![]()
Menurutnya, ketika kejadian, kawasan berkenaan dilanda hujan dan angin kencang selama kira-kira lima minit sebelum pokok kelapa tersebut tumbang. Beliau berkata, kejadian itu merupakan insiden pertama melibatkan pokok tumbang di laluan berkenaan sehingga meragut nyawa.
Tambahnya, pembonceng motosikal itu turut membawa tongkat ketika kejadian kerana masih dalam proses pemulihan selepas mengalami patah kaki akibat kemalangan yang berlaku sebelum ini.
Kredit: Sinar Harian