Baru-baru ini, insiden disyaki keracunan makanan dilaporkan berlaku di Sekolah Rendah Islam ABIM (SERI) dan Sekolah Menengah Islam ABIM (SEMI) Sungai Ramal Dalam selepas beberapa murid mengalami simptom seperti muntah, pening dan sakit perut.
Kejadian itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa selepas ia dikaitkan dengan makanan dari kantin sekolah, sebelum tular di media sosial dan mendapat perhatian orang ramai.
![]()
Insiden Disyaki Keracunan Makanan Di Sekolah ABIM Sungai Ramal Dalam Dalam Keadaan Terkawal
Pengurusan SERI/SEMI ABIM Sungai Ramal Dalam mengesahkan keadaan ketika ini berada dalam keadaan terkawal, dengan hanya seorang murid dilaporkan menerima rawatan di hospital sebelum dibenarkan pulang. Murid lain pula berada dalam pemantauan pihak sekolah bersama ibu bapa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SERI/SEMI ABIM Sungai Ramal Dalam, Nazzil Saifuddin Abdul Rahim, pihak sekolah telah mengambil tindakan segera sebaik menerima laporan dengan bekerjasama bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat.
Beliau berkata, pihak sekolah turut memantau kesihatan semua murid yang terlibat serta berhubung rapat dengan ibu bapa dan pihak kesihatan bagi memastikan keadaan mereka sentiasa terkawal.
![]()
Susulan itu, pihak sekolah akur dengan arahan KKM untuk menutup sementara dapur kantin selama 14 hari bagi membolehkan kerja pembersihan, sanitasi serta pemeriksaan keselamatan makanan dijalankan. Langkah tersebut diambil bagi memastikan aspek kebersihan dan keselamatan makanan dapat dipastikan sebelum operasi kantin dibuka semula.
Pihak sekolah kini sedang menunggu laporan lengkap daripada PKD Hulu Langat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut. Dalam masa sama, pihak pengurusan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga keputusan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
Terdahulu, kantin sekolah berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari selepas tular dakwaan beberapa murid mengalami simptom seperti muntah, pening dan sakit perut, namun punca sebenar masih dalam siasatan.
Kredit: Sinar Harian