Ketiadaan pelakon Abby Abadi pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran anak keduanya, Marissa Dania Hakim, baru-baru ini mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

Susulan itu, Abby tampil menjelaskan bahawa dia tidak hadir bukan kerana memarahi anaknya, sebaliknya mengakui dirinya berasa sedih dan kecewa.

https://www.threads.com/@abbyabadi_112/post/DaXdoSNGBtB?xmt=AQG0g5Wy5H5FoNRUtrnufWKurE_notSAq44O3MnEn9dNueOT3hElKKlMb6MRZYiNleSbG5d_&slof=1

Abby Abadi Luah Kekecewaan, Marissa Tampil Jelaskan Isu Jemputan Majlis Hari Jadi

Menerusi perkongsian di Threads, Abby berkata dia tetap mengucapkan selamat hari lahir kepada Marissa kerana tarikh istimewa anak-anak sentiasa diingatinya, namun buat pertama kali dalam tempoh lebih 20 tahun dia tidak meraikan hari lahir anaknya. Menurut Abby, dia merasakan dirinya ‘kalah’ dalam dunia media sosial kerana tidak mampu mengadakan majlis besar seperti yang dilakukan pihak lain, selain mendakwa segala pengorbanan yang dilakukan sebagai seorang ibu seolah-olah dilupakan.

Dalam luahan sama, Abby turut mengimbau kehidupan ketika masih bergelar isteri kepada Norman Hakim. Menurutnya, dia melalui sebahagian besar tempoh kehamilan seorang diri kerana bekas suaminya sering tiada di rumah atas urusan kerja. Malah, Abby mendakwa pernah melahirkan seorang daripada anaknya di dalam kereta tanpa sempat tiba di klinik.

Beliau turut membangkitkan isu nafkah dan keadilan terhadap anak-anak yang didakwa menjadi antara punca hubungan mereka semakin renggang. Abby berkata jika segala perkara itu tidak diselesaikan di dunia, dia percaya semuanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Walaupun mengakui pengalaman itu meninggalkan trauma, beliau bersyukur kerana ujian tersebut mendekatkannya kepada Allah dan memberinya kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Sementara itu, Marissa Dania Hakim menafikan dakwaan bahawa dia sengaja tidak menjemput ibunya ke majlis sambutan ulang tahun berkenaan. Menerusi Instagram Story, Marissa berkata kad jemputan telah dihantar kepada Abby dan bapa tirinya kerana dia benar-benar mengharapkan kehadiran mereka pada hari istimewa itu.

Marissa turut memaklumkan dia menangis di hadapan ibu saudara kerana terlalu sedih apabila ibunya tidak hadir. Menurutnya, isu jemputan yang dihantar semula (forward) tidak sepatutnya dijadikan pertikaian kerana semua tetamu, termasuk Norman Hakim, Memey Suhaiza dan ahli keluarga lain menerima jemputan dengan kaedah yang sama daripada pereka jemputan.

Marissa yang kini berusia 21 tahun turut mengakui hubungannya dengan Abby menjadi semakin dingin sejak kebelakangan ini akibat beberapa salah faham. Antaranya apabila Abby berkecil hati kerana Marissa tidak menemuinya selepas selesai urusan di mahkamah, sebaliknya hanya bertemu bapanya. Marissa menjelaskan perkara itu tidak dirancang kerana ketika itu dia hanya memerlukan sedikit masa untuk bersendirian selepas selesai urusan mahkamah dan percaya mereka masih boleh bertemu pada hari berikutnya. Menurutnya, dua hari sebelum kejadian tersebut mereka masih sempat berjumpa seperti biasa.

Sebelum ini, ketiadaan Abby pada majlis ulang tahun Marissa yang dianjurkan Norman Hakim bersama isterinya, Memey Suhaiza menjadi perhatian ramai. Rentetan luahan Abby mengenai kisah lampau dan pengorbanannya sebagai ibu, ruangan media sosial Norman dan Memey turut dibanjiri pelbagai reaksi daripada netizen.

Untuk rekod, Abby dan Norman mendirikan rumah tangga pada tahun 2002 sebelum bercerai pada 2009. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Mohamed Danish Hakim, Marissa Dania Hakim dan Maria Danisha Hakim.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]