Guru Agama, Tiga Pelajar Cedera Nahas Dengan Lori Ketika Pulang Dari Kejohanan Ping Pong
Difahamkan, kesemua mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke sebuah sekolah agama di Durian Daun selepas selesai menyertai Kejohanan Ping Pong Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng.
Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.24 petang. Susulan itu, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah segera digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati seorang guru lelaki berusia 24 tahun serta seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun masih tersepit di dalam kenderaan. Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh kurang 10 minit menggunakan peralatan khas hydraulic rescue tools.
![]()
Dalam kejadian sama, seorang lagi pelajar berusia 15 tahun dilaporkan mengalami patah kaki, manakala seorang pelajar berusia 16 tahun cedera akibat hentakan. Kedua-dua mangsa itu bagaimanapun telah dikeluarkan lebih awal oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sementara itu, pemandu lori berusia 46 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam perkembangan sama, operasi menyelamat tersebut turut menyaksikan satu cubaan dipercayai untuk mencuri wang tunai serta barangan peribadi milik guru yang terbabit dalam kemalangan. Bagaimanapun, tindakan pantas anggota bomba berjaya menggagalkan cubaan berkenaan sebelum semua wang dan barangan milik mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kesemua mangsa yang cedera kini menerima rawatan daripada pasukan KKM, manakala pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan serta menyiasat cubaan mencuri yang berlaku ketika operasi menyelamat dijalankan.
Kredit: Berita Harian