Bapa kepada pelajar perempuan berusia 15 tahun yang menjadi mangsa kejadian tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor menafikan dakwaan di media sosial yang mengaitkan anaknya dengan perbuatan buli sebelum insiden tersebut berlaku.

Nama Anak Didakwa Dalam Senarai Sasaran, Bapa Nafi Anak Terlibat Buli

Mohd Firuz Ibrahim, 43, berkata anaknya bukan seorang pembuli seperti yang didakwa segelintir pihak, malah menyifatkan mangsa sebagai seorang yang pendiam dan lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga.

Menurutnya, beliau bagaimanapun terbuka sekiranya pihak polis mahu menjalankan siasatan berkaitan sebarang kemungkinan unsur buli yang dikaitkan dengan kejadian itu.

“Jika ada dakwaan mengatakan dia membuli, saya rasa perkara itu tidak mungkin berlaku. Namun, saya terbuka sekiranya pihak polis mahu menyiasat elemen buli,” katanya.

Mohd Firuz turut memaklumkan anaknya jarang keluar rumah tanpa ditemani ahli keluarga dan tidak pernah keluar bersendirian bersama rakan-rakan. Beliau berkata, keluarganya juga tidak pernah mengenali keluarga suspek, namun bersedia mengadakan pertemuan sekiranya perkara itu dicadangkan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengesahkan menerima mesej WhatsApp berkaitan satu foto dokumen yang tular di media sosial dan didakwa mengandungi senarai nama individu yang menjadi sasaran suspek. Menurutnya, nama anaknya dipercayai berada di kedudukan nombor 10 dalam senarai tersebut, namun beliau tidak dapat memastikan sama ada dokumen berkenaan benar atau sebaliknya.

Katanya, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan dan menentukan kesahihan dokumen berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi Isnin itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Banting selepas mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan akibat ditikam oleh suspek yang dipercayai pernah berada dalam kelas sama dengannya tahun lalu.

Polis memaklumkan suspek remaja berusia 15 tahun yang memakai kemeja-T hitam ketika kejadian dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu utama sebelum melakukan serangan. Suspek juga difahamkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, suspek telah ditahan selepas kejadian dan kini direman selama empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Kredit: Sinar Harian

 

 

[fbcomments]