Kerajaan memutuskan bahawa caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak lagi diwajibkan kepada pekerja. Sebaliknya, penyertaan dalam skim tersebut kini dibuat secara sukarela dan keputusan itu berkuat kuasa serta-merta.
![]()
Kerajaan Putuskan Caruman Skim Lindung 24 Jam Kini Sukarela
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan pelbagai maklum balas yang diterima daripada orang ramai mengenai pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja semasa mesyuarat Jemaah Menteri.
Menurut beliau, hasil perbincangan itu, Jemaah Menteri bersetuju supaya skim berkenaan tidak lagi dilaksanakan secara mandatori. Katanya, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan mengeluarkan kenyataan lanjut bagi menjelaskan pelaksanaan keputusan tersebut.
![]()
Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan menjelaskan bahawa kadar caruman sebanyak 0.75 peratus adalah jauh lebih rendah berbanding kebanyakan produk insurans yang ditawarkan di pasaran. Beliau turut berpandangan bahawa jumlah caruman itu seharusnya dilihat sebagai satu pelaburan kecil untuk mendapatkan perlindungan yang lebih menyeluruh, bukannya dianggap sebagai satu beban kepada pencarum.
Skim Lindung 24 Jam diperkenalkan bagi memberi perlindungan kepada pekerja serta ahli keluarga mereka sekiranya berlaku kemalangan atau musibah di luar waktu bekerja, sekali gus menyediakan jaringan keselamatan tambahan di luar skop perlindungan ketika menjalankan tugas.
Kredit: Kosmo!