Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kekal dibebaskan daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan tersebut dengan majoriti 2-1 hari ini.
![]()
Syed Saddiq Kekal Bebas, Mahkamah Persekutuan Tolak Rayuan Pendakwaan Dalam Kes Dana Armada
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim yang bersidang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Hakim Che Mohd Ruzima dan Hakim Collin Lawrence menyokong keputusan majoriti untuk mengekalkan pembebasan Syed Saddiq, manakala Hakim Abu Bakar memberikan pandangan berbeza terhadap keputusan berkenaan.
Sepanjang prosiding rayuan, pihak pendakwaan yang bertindak sebagai perayu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan. Syed Saddiq, 33, pula diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik.
![]()
Suasana di mahkamah sebelum keputusan diumumkan disifatkan mendebarkan apabila panel hakim mengemukakan pandangan berbeza mengenai pertuduhan yang dihadapi Syed Saddiq. Hakim Abu Bakar dan Hakim Che Mohd Ruzima memberikan pendapat bertentangan, sekali gus menyebabkan keputusan akhir bergantung kepada pendirian Hakim Collin Lawrence.
Sebelum prosiding disambung semula, pihak mahkamah mengambil masa rehat selama 15 minit selepas peguam Hisyam Teh bersetuju dengan permintaan tersebut. Ketika itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin sempat mencetuskan suasana santai dengan berkata, “Saya nak pergi tandas,” sebelum Hakim Abu Bakar menyatakan pihak pendakwaan berjaya mengekalkan debaran sepanjang prosiding.
Syed Saddiq sebelum ini didakwa atas pertuduhan pertama iaitu bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali berhubung penyalahgunaan dana Armada berjumlah RM1 juta yang diamanahkan kepadanya. Kesalahan itu didakwa berlaku di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan serta denda.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menggunakan wang berjumlah RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk kegunaan sendiri. Pertuduhan itu didakwa berlaku antara 8 hingga 21 April 2018 di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan hingga maksimum lima tahun, sebatan serta denda.
![]()
Selain itu, Syed Saddiq turut menghadapi dua pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan wang RM50,000 setiap satu daripada akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya. Kesalahan tersebut didakwa berlaku pada 16 dan 19 Jun 2018 di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Jika disabitkan, kesalahan tersebut membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda sehingga lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram.
Sebelum ini, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman yang pernah diputuskan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu bagaimanapun membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi. Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Kredit: Kosmo!