Seorang pelajar Tingkatan Satu bertindak mengejar tiga rakannya menggunakan pisau pemotong kertas di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka, petang semalam dipercayai selepas berang apabila dibaling ais secara berulang kali oleh pelajar terbabit.

Pelajar Tingkatan Satu Kejar Rakan Dengan Pisau Selepas Dibaling Ais

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 petang ketika Program Penghargaan Kehadiran Murid sedang berlangsung di dewan terbuka sekolah berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun dipercayai membaling ais ke arah suspek yang juga berusia 13 tahun sebelum suspek mengambil pisau pemotong kertas dari dalam bekas pensel dan mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter sehingga ke kawasan surau sekolah.

Dua lagi pelajar yang berada di lokasi turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran, manakala kejadian tersebut berjaya dirakam menerusi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) sekolah.

Bagaimanapun, tindakan pantas seorang guru yang memujuk suspek supaya melepaskan pisau berjaya mengawal keadaan dan mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku. Tiada kecederaan dilaporkan melibatkan mana-mana pelajar atau warga sekolah.

Ketiga-tiga mangsa kemudiannya kembali ke dewan selepas keadaan reda, manakala keluarga suspek dipanggil ke sekolah untuk membawa pelajar berkenaan pulang. Ahmad berkata, pihak sekolah sebelum ini telah dimaklumkan bahawa pelajar terbabit sedang mendapatkan rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka, dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu.

Tambahnya, semakan mendapati semua pelajar yang terlibat mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal tahun ini. Laporan polis telah dibuat oleh guru sekolah berkenaan di Balai Polis Durian Tunggal dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Kredit: Kosmo!

[fbcomments]