Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun berdepan detik cemas apabila kereta Perodua Myvi yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai berhampiran pintu air Pengkalan Petah pada petang Sabtu, dipercayai selepas dia terlelap ketika memandu.
![]()
Pelajar Tingkatan Empat Selamat Selepas Kereta Terjunam Ke Sungai Akibat Terlelap
Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 petang itu, pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Kota Bharu tersebut difahamkan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghadiri kelas tuisyen.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Nor Azini Che Wil berkata, remaja itu memaklumkan dia mengantuk dan dipercayai tertidur seketika ketika memandu. Apabila tersedar, dia mendapati kereta yang dipandunya telah tenggelam di dalam sungai yang dianggarkan sedalam 15 meter.
![]()
Menurut beliau, mangsa bertindak pantas dengan memecahkan cermin bahagian penumpang hadapan menggunakan lengan kirinya bagi membolehkannya keluar dari kenderaan yang semakin tenggelam. Selepas berjaya menyelamatkan diri, remaja itu dibantu orang awam yang menggunakan tali untuk menariknya naik ke tebing sungai.
Nor Azini berkata, kereta berkenaan kebetulan terjunam berhampiran tebing sungai, selain mangsa juga tidak panik sepanjang kejadian berlaku.
![]()
Akibat insiden tersebut, pelajar itu mengalami kecederaan pada lengan kiri sebelum dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau turut memaklumkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.20 petang dan operasi menyelamat selesai sepenuhnya kira-kira jam 5 petang.
Kredit: Sinar Harian